Thursday, June 28, 2007

Pertembungan Tamadun Islam? Caranya...


Dalam sejarah perkembangan tamadun Islam merupakan bahagian yang kurang diminati oleh pelajar. Keadaan ini mungkin kerana pelajar menganggap bahagian ini tidak menarik dan sukar untuk mengaitkannya dengan sejarah semasa. Cuma, perlu saya ingatkan bahawa bahagian ini sering ditanya di dalam kertas peperiksaan. Jadi, kalau saya sudah pasti saya akan memastikan perkara ini saya pentingkan.

Ada lima cara pertembungan tamadun Islam yang mampu saya fikirkan untuk renungan pelajar.

Perdagangan dan perniagaan - Pengawasan Islam terhadap kawasan Teluk Parsi, Laut Merah dan Timur Mediterranean telah membolehkan perdagangan jarak jauh laut menjadi salah satu alat pertembungan dengan tamadun lain

Hubungan diplomatik - Orang Islam dapat mengetahui cara hidup, cara berfikir dan cara mentadbir daripada tamadun lain

Penaklukan dan ketenteraan - Berlakunya interaksi antara tamadun Islam dengan tamadun lain akibat daripada kegiatan penaklukan dan ketenteraan

Kebudayaan - Kemasukan Islam ke Sepanyol telah membawa kepada kemunculan kebudayaan baru

Intelektual - Penyebaran Islam di Eropah telah membawa keuntungan kepada para intelek Islam. Mereka telah berjaya mendalami ilmu tamadun Eropah seterusnya memperkembang ilmu tersebut menurut perundangan Islam

Monday, June 25, 2007

Sumbangan Ahli Falsafah Yunani


Saya mengaku saya meminati bidang falsafah kerana pada saya bidang ini menjelaskan kepentingan ilmu, kehidupan, dan erti menjadi manusia. Cuma bidang ini agak subjektif dan bergantung kepada penilaian seseorang, ramai berpendapat falsafah satu bidang yang membosankan atau bercirikan idealis. Ada pelajar saya yang memanggilnya bidang SAMPAH.

Kalau kita kaji sejarah, banyak peristiwa sejarah berpunca daripada bidang falsafah. Kewujudan bidang ini menyebabkan manusia terus berfikir dan mencapai kematangan yang membawa penemuan, penghasilan, dan kewujudan sesuatu perkara sejarah itu. Bayangkan tiadanya dunia falsafah. Saya yakin kita tidak akan mempunyai kejayaan dalam kemanusiaan.

Antara ahli falsafah yang terkenal, banyak yang datang dari Yunani. Banyak ilmu yang kita pelajari kini boleh dikesan asal-usulnya daripada tokoh Yunani ini. Jadi sumbangan utama Yunani ialah dalam bidang falsafah.

Terdapat golongan cerdik pandai yang dikenali sebagai sofis

Socrates
Merupakan ahli falsafah yang mementingkan kebenaran
Ajaran beliau adalah jangan mempercayai sesuatu tanpa bukti atau sokongan yang nyata
Pengikut-pengikutnya juga digalakkan lagi mengemukakan soalan untuk mendapatkan kebenaran. Beliau juga mengajar pengikutnya supaya berakhlak baik

Plato
Anak murid Socrates dan telah menghasilkan buku Republik
Buku ini menerangkan struktur kerajaan yang terbaik untuk rakyat. Plato berpendapat bahawa ahli falsafah boleh menjadi pemimpin yang baik kerana mereka dapat memerintah dengan adil dan saksama
Plato telah menubuhkan sebuah sekolah yang dikenali sebagai Akademi di Athens

Aristotle
Anak murid Plato yang menuntut di Sekolah Akademi
Sumbangan Aristotle adalah berkaitan dengan perkembangan ilmu fizik dan muzik
Beliau ialah guru kepada Iskandar Zulkarnain dan telah menubuhkan sebuah institusi sains, iaitu Lyceum

Zeno
Mengasaskan satu cabang yang digelar Stoisisme yang menekankan kepada keadilan tangunggjawab, keberanian dan perikemanusiaan

Monday, June 18, 2007

Akta Tanah Simpanan Melayu


Salah satu tindakan British yang memberi kesan mendalam kepada orang Melayu di negara ini ialah pengenalan Akta Tanah Simpanan Melayu. Pengenalan akta ini telah menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama rasa yakin diri orang Melayu. Sekali pandang akta ini seolah-olah ingin melindungi orang Melayu tetapi sebenarnya atas faktor kekurangan modal, orang Melayu menerima kesan yang ketara. Namun, kelemahan dalam aspek perpaduan menyebabkan akta ini terhasil.

Tiga perkara penting yang perlu pelajar ingat dalam aspek akta ini ialah:

Faktor-faktor pihak British meluluskan Akta Tanah Simpanan Melayu
Bertukar milik - Banyak tanah pertanian orang Melayu telah bertukar milik kepada pengusaha bukan Melayu untuk diusahakan sebagai ladang getah
Petani - Pihak British ingin mengekalkan orang Melayu sebagai petani
Tanam - Banyak tanah pertanian Melayu ditanam dengan getah
Tradisi - Pihak British menganggap tanah kampung adalah hak milik tradisi orang Melayu

Manakala perkara-perkara yang terkandung dalam Akta Tanah Simpanan Melayu
Residen - Residen menetapkan Tanah Simpanan Melayu tidak boleh digadai atau dijual
Getah - Getah tidak dibenarkan ditanam di tanah tersebut
Pinda - British meminda Akta Tanah Simpanan Melayu 1931 kerana keluasan tanah simpanan kecil

Akta ini merugikan orang Melayu kerana:
Kawasan baru - Orang Melayu terpaksa menerokai kawasan baru untuk penanaman getah
Komersial - Nilai komersial tanah orang Melayu merosot
Petempatan - Bukan semua tanah simpanan Melayu sesuai untuk petempatan

Friday, June 15, 2007

Maritim vs Agraria


Ha,ha, soalan ini sering kali saya terima daripada pelajar. Kadangkala saya rasa nak gelak sebab masih ada pelajar yang gagal memahami perkara yang semudah ini (maaf kalau saya terlalu memandang rendah keupayaan anda...maaf). Bahagian ini memang asas dalam pemahaman soalan sejarah dan soalan ini sebenarnya soalan percuma dalam SPM kalau soalan ini keluar tahun ini.

Perkara yang paling mudah untuk anda semua faham ialah agraria merujuk aspek pertanian. Cuba kaitkan semua perkara yang ada di hutan sebagai perkara utama dalam kerajaan agraria. Manakala maritim pula sudah pasti berkaitan dengan pantai dan lautan kerana maritim itu sendiri merujuk kelautan.

Kedua-dua kerajaan ini memang saling memerlukan antara mereka. Cuma persoalan yang paling penting ialah siapa yang paling memerlukan siapa? Ini mungkin sukar dijawab.

Hubungan kerajaan agraria dan maritim
Makanan – Kerajaan agraria membekalkan makanan kepada masyarakat bandar dan pedagang-pedagang asing yang berurusan dengannya.
Dagangan – Kerajaan agraria membekalkan hasil hutan untuk diperdagangkan oleh kerajaan maritim ke tempat lain.
Tukaran barang – Kerajaan maritim telah membawa masuk pelbagai jenis barangan untuk ditukarkan dengan kerajaan agraria yang memang memerlukan barangan itu.
Peluang berubah – Kerajaan agraria berpeluang berubah menjadi kerajaan maritim dalam satu jangka masa, contohnya Kerajaan Funan

Thursday, June 14, 2007

Faktor-faktor penentangan penduduk Quraisy...




Saya menerima pertanyaan pelajar tentang punca-punca penduduk Quraisy Makkah menentang Islam. Ini satu persoalan yang menarik kerana penentangan mereka bukan semata-mata atas dasar agama sahaja tetapi lebih luas lagi. Faktor ekonomi dan sosial turut memainkan peranan penting dalam penentangan ini.

Baiklah antara faktor penentangan masyarakat Quraisy Makkah terhadap penyebaran agama Islam ialah:

Politik
Mereka menolak ajaran Islam kerana tidak mahu tunduk kepada kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w. dan menganggap ajaran Islam hanyalah helah Nabi Muhammad s.a.w. untuk menguasai politik di Makkah dengan cara yang tidak sah.
Agama
Orang Quraisy menolak Islam kerana tidak mahu amalan nenek moyang mereka terhapus seperti pembuatan patung dan takut akan pembalasan di akhirat.
Ekonomi
Islam ditentang kerana menjejaskan ekonomi masyarakat Quraisy kerana Islam mengharamkan riba dan penindasan dalam menjalankan urusan jual beli dan dasar ekonomi Islam dianggap akan memundurkan Kota Makkah yang terkenal sebagai pusat perdagangan dan pelancongan pada mata masyarakat sekelilingnya.
Sosial
Konsep sama taraf dan adil dalam Islam dianggap akan menjejaskan sistem perhambaan yang sudah lama diamalkan. Begitu juga dengan fahaman assabiah yang diamalkan tidak dibenarkan oleh Islam selain Islam mengharamkan perjudian, meminum arak dan berzina.

Monday, June 11, 2007

Apakah piagam madinah...


Piagam Madinah merupakan bahagian yang menarik minat saya. Piagam ini membuktikan betapa Nabi Muhammad saw mampu menjalankan perananya sebagai pemimpin dan ketua agama kepada semua pihak tanpa melakukan diskriminasi.

Pelajar harus sedar piagam ini mempunyai 47 fasal dan dibahagikan kepada dua bahagian yang setiap satu mempunyai 23 dan 24 fasal. Piagam ini memberikan penekanan terhadap beberapa perkara yang telah saya ringkaskan di bawah:

1. politik dan pentadbiran yang menganggap Nabi Muhammad saw sebagai pemimpin dan hakim yang memerintah secara adil.
2. agama yang membenarkan semua orang bebas beragama dan mengamalkan ajaran agama mereka tanpa sekatan.
3. sosial yang mewajibkan semua penduduk menerima satu sama lain yang dianggap sebagai ummah yang bersatu mempertahankan agama dan negara.
4. perundangan pula melibatkan penggunaan peraturan Islam dalam memastikan peraturan dipatuhi.
5. ekonomi pula memastikan semua pihak menerima peluang yang sama dalam menjalankan urusan ekonomi.
6. pertahanan yang memastikan semua orang bersatu mempertahankan negara daripada serangan musuh.
7. orang yahudi dianggap rakyat selagi mereka sendiri memahami dan mematuhi piagam itu.

Saya harap semua pelajar memberi perhatian kerana soalan ini amat mudah dan memang senang untuk difahami. Cuba renungkan.

Friday, June 8, 2007

Siapakah Kemal Ataturk?


Beliau merupakan seorang pemimpin Turki yang telah menjadi presiden pertama Republik Turki.

Beliau dilahirkan di Selanik yang ketika itu berada di bawah kekuasaan kerajaan Ottoman (kini dikenali sebagai Thessalonki, Greek).

Sebelum menjadi pemimpin Turki, beliau berkhidmat dalam tentera dan peperangan Gallipoli merupakan satu kejayaan kepada dirinya. Beliau telah berjaya menghalang kemaraan tentera British, Perancis dan Australia dalam peperangan itu.

Beliau telah menjadi presiden apabila ditawarkan oleh Parlimen Turki pada tahun 1920. Keadaan ini telah mengundang kepada peperangan Turki dengan Greek yang menyaksikan Turki mencapai kemenangan.

Beliau telah menggalakkan penggunaan pakaian barat. Malah wanita turut diberi galakan untuk menceburi bidang pekerjaan selain membawa kemodenan kepada Turki.

Beliau telah memberi imej eropah kepada Turki tetapi masih mengamalkan nilai-nilai dan agama Islam.

Thursday, June 7, 2007

Batu Rosetta (Rosetta Stone)


Batu ini merupakan satu alat yang memudahkan pengkaji sejarah zaman moden untuk memahami tulisan mesir lama dan yunani.

Batu ini telah ditemui oleh seorang Kapten tentera Perancis yang bernama Pierre-Francois Bouchard di tempat yang dikenali sebagai Rosetta (zaman moden tempat ini dikenali sebagai Rashid) pada 15 Julai 1799.

Beliau segera memahami kepentingan batu ini tetapi apabila tentera Perancis menyerah kalah kepada British pada tahun 1801, berlaku perebutan hak milik terhadap batu ini. Akhirnya British berjaya memiliki batu ini dan terus menyimpannya sehingga sekarang di Muzium Britain.

Pada tahun 2003, kerajaan Mesir telah membuat tuntutan supaya batu ini dipulangkan semula kepada rakyat Mesir.