Sunday, July 29, 2007

Kuasa Agong begitu banyak...satu renungan


Kuasa Yang di-Pertuan Agong memang banyak dan soalan ini pada pandangan saya memang penting untuk SPM 2007. Pertama Agong merupakan ketua negara iaitu baginda mengetuai badan perundangan, badan pemerintah dan kehakiman. Baginda juga mampu memperkenakan undang-undang. Bagindajuga boleh membubarkan atau memanggil mesyuarat Parlimen.

Baginda ketua tertinggi angkatan tentera. Selain itu, baginda boleh mengampunkan atau menangguhkan sesuatu hukuman yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera.

Begitu juga baginda mempunyai kuasa untuk menjaga dan memelihara kedudukan han hak-hak istimewa orang melayu. Baginda juga ketua agama islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan selain negri baginda.

Usah lupa bahawa baginda boleh melantik perdana menteri mengikut budi bicaranya dan melucut atau melantik jemaah menteri. Baginda juga boleh melantik pengerusi dan timbalan pengerusi suruhanjaya perkhidmatan awam selain peguam negara dan ketua audit negara. Malahan, semua duta-duta dilantik oleh baginda juga.

Jadi, memang Agong kita mempunyai kuasa yang banyak walaupun kita seolah-olah melihat baginda tiada kuasa sekali pandang.

Wednesday, July 25, 2007

Kawasan Pegangan dan Pemakanan...

Saya suka topik ini kerana konsepnya yang lucu tetapi besar pengaruhnya dalam kesultanan melayu. Mudah nak ingat.

Kawasan pegangan ialah kawasan pentadbiran bagi pembesar peringkat pusat. Bendahara memerintah Muar dan Bintan. Penghulu Bendahari memerintah Sening Hujung dan Kampar manakala Laksamana memerintah Siantan dan Sungai Raya.

Kawasan pemakanan merujuk kawasan pembesar jajahan dan daerah memungut cukai.

Monday, July 23, 2007

Malayan Union soalan penting dalam SPM


Penubuhan Malayan Union penting kepada British?

British menubuhkan MU dengan tujuan untuk menukarkan taraf dari negeri naungan menjadi negeri tanah jajahan British.

MU juga dibuat untuk mengawal dan menjaga pelaburan ekonomi dan kepentingan British.

MU dianggap mampu menyatukan sistem pentadbiran negeri-negeri Tanah Melayu. British berharap penubuhan MU mampu memberi kewarganegaraan kepada semua kaum untuk mewujudkan bangsa Malaya.

Selain itu MU dianggap mampu menjimatkan kos pentadbiran penjajah. Mu juga diharap mampu mengawal kuasa politik orang Melayu.

Harus pelajar ingat bahawa MU mengecualikan Singapura dalam pelaksanaannya.

Orang Melayu menentang MU?

Jadi agak jelas sebab orang Melayu menentang MU ialah kerana menganggap keudalatan dan kuasa-kuasa sultan telah terancam.

Bimbang orang bukan melayu diberi kewarganegaraan berdasarkan konsep jus soli.

Tidak memberikan masa yang panjang untuk sultan-sultan berbincang tentang MU.

Penggunaan ugutan dan paksaan oleh MacMichael untuk mendapatkan tandatangan sultan.

Kedudukan ekonomi dan politik orang melayu terjejas.

Sunday, July 22, 2007

Konsep Dewa Raja


Dalam SPM, soalan tentang konsep Dewa Raja dan Islam memang pernah ditanya. Kedua-dua konsep ini melihat kedudukan sultan memang berbeza. Dalam konsep Dewa Raja, sultan dianggap pemerintah yang luhur dan suci. Manakala dalam konsep Islam sultan pula dianggao sebagai Amirulmukminin atau wakil Tuhan di bumi. Sultan juga dianggap sebagai ketua umat Islam.

Daulat pula dikukuhkan dengan beberapa cara. Pertama ialah penggunanan bahasa. Penggunaan bahasa dalam yang ditegah digunakan oleh rakyat biasa telah mengukuhkan kedudukan sultan. Perkataan santap, bersiram dan titah.

Penggunaan warna juga penting iaitu warna kuning menjadi warna rasmi negara dan sultan. Penggunaan payung putih dikhaskan untuk sultan dan payung kuning untuk anak raja. Malah barang perhiasan lain dan perahu baginda turut berwarna kuning.

Hak istimewa raja turut dikukuhkan dengan rakyat tidak boleh menderhaka kerana menderhaka akan menerima tulah. Penggunaan emas juga dilarang dalam kalangan rakyat kecuali dianugerahkan oleh sultan. Emas hanya boleh dipakai oleh sultan dan keturunannya. Sultan juga berkuasa dalam menggubal undang-undang.

Daulat raja juga dikukuhkan dengan penggunaan alat kebesaran raja. Nobat digunakan ketika upacara rasmi. Begitu juga penggunaan cop mohor, keris, tepak sirih dan kendi menjadi lambang kedaulatan raja.

Saturday, July 21, 2007

Peranan Malaysia dalam Komanwel


Soalan SPM tentang Komanwel mungkin agak jarang keluar tetapi bahagian ini memang berkaitan dengan negara kita. Bukan sahaja kita menjadi anggotanya tetapi sejarahnya turut berkait rapat dengan negara kita. Jadi cuba kita kaji ciri-ciri Komanwel:

Pertubuhan ini tidak mempunyai perlembagaan yang bertulis. Selain itu bahasa Inggeris digunakan dalam hubungan antara negara-negara anggota. Raja British (Permaisuri) menjadi ketua pertubuhan ini selain menjadi lambang perpaduan pertubuhan. Sistem pentadbiran dan kehakiman negara anggota berasaskan sistem British. Malah, ciri yang paling ketara ialah semua negara anggota pernah menjadi tanah jajahan British.

British menubuhkan Komanwel atas beberapa faktor iaitu:

Kepentingan sosial yang melibatkan Sukan Komanwel bagi memupuk hubungan persahabatan antara anggota. Pemberian biasiswa yang melibatkan pelajar miskin untuk belajar di universiti negara-negara anggota.

Kepentingan Pertahanan juga penting kerana ketika itu Malaysia sedang menghadapi masalah dengan Indonesia. Perjanjian Pertahanan telah dibuat antara Malaysia, Britain, Australia, New Zealand dan Singapura yang menyaksikan semua negara terbabit bebas membuat keputusan untuk membantu atau tidak jika sesebuah negara anggota diancam oleh kuasa lain.

Kepentingan ekonomi juga jelas kerana Rancangan Colombo menyaksikan negara-negara maju membantu memajukan negara-negara anggota yang miskin. Begitu juga penubuhan Pertubuhan Blok Sterling yang menjadi tabung bagi negara-negara anggota untuk mengasaskan nilai mata wang mereka dengan mata wang British.

Peranan Malaysia dalam Komanwel? Memang banyak. Antaranya menjadi tuan rumah mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM). Malaysia juga aktif menimbulkan isu-isu antarabangsa seperti Isu alam sekitar melalui Deklarasi Langkawi, hak-hak asasi manusia dan penentangan dasar Apartheid.

Friday, July 20, 2007

Sistem Kerah vs Serah


Soalan ini pernah keluar dalam peperiksaan SPM tetapi sudah lama. Jadi,apabila ada pelajar saya bertanyakan soalan ini minda saya melayang jauh untuk mengingati semula soalan itu. Menarik.


Dalam sistem feudal , tanggungjawab rakyat kepada pembesar agak jelas. Pertama ialah Sistem Serah iaitu rakyat menyerahkan sebahagian hasil tanaman mereka kepada pembesar sebagai balasan membenarkan mereka menggunakan tanah pembesar itu. Jumlah yang harus diserahkan pula bergantung kepada pendapatan yang diterima dalam musim itu.

Manakala Sistem Kerah pula menekankan keperluan rakyat memberikan tenaga untuk membuat sesuatu kerja yang berat untuk pemerintah seperti membina jambatan,kubu pertahanan dan jalan raya. Sistem ini melambangkan kesetiaan rakyat kerana tugas mereka ini tidak dikenakan bayaran gaji.

Dalam masa yang sama tanah dianggap dimiliki oleh raja. Rakyat hanya bekerja di tanah itu. Sempadan antara daerah atau kuasa pembesar pula ditentukan oleh sungai atau anak sungai yang melalui tanah tertentu. Ada juga tanah yang dianugerahkan kepada pembesar kerana jasa-jasa atau sebab-sebab tertentu.

Pelajar juga usah lupa bahawa hasil hutan terutama di Terengganu menjadi milik pembesar. Rakyat yang mengutip hasil hutan itu hanya menjualkannya kepada pembesar berdasarkan harga yang telah ditentukan dahulu.

SPM Bahasa Melayu...azman-duniaku.blogspot.com


Peperiksaan SPM semakin hampir. Jadi, untuk pengetahuan pelajar saya selain blog ini, saya juga mempunyai blog tentang BM SPM dan PMR. Sebenarnya blog itu lebih lama daripada blog belajarsejarah ini. Tujuannya sama iaitu untuk memberi satu ruang kepada pelajar untuk memahami subjek BM dengan lebih baik dalam bentuk yang baru dan memudahkan mereka.


Saya yakin blog BM ini mampu memberi bantuan kepada pelajar yang memasukinya kerana blog ini cuba menyesuaikan keperluan pelajar dalam menjawab soalan peperiksaan SPM. Jadi, saya harap anda gunakan peluang ini dengan baik. Cuma anda harus sedar bahawa latihan demi latihan merupakan asas kejayaan dalam mana-mana peperiksaan pun.


Terus belajar pelajarku.

Sunday, July 15, 2007

Sistem tulisan Tamadun Mesir


Tulisan merupakan hasil ciptaan yang penting dalam sesebuah tamadun. Masyarakat Mesir memang mempunyai tulisan yang mempunyai kepentingan dalam tamadun mereka. Jadi,pastikan anda memahami kepentingan tulisan ini.

Tulisan orang Mesir lebih dikenali dalam bentuk gambar yang dikenali sebagai Hieroglif. Tulisan ini diukir pada natu dan kayu untuk memudahkan pembacaan. Ada juga yang ditulis di atas kertas papyrus. Penggunaan dakwat dan berus berlaku secara meluas dalam penghasilan tulisan ini. Tulisan ini bertujuan untuk merekodkan upacara keagamaan dan harta yang ada di kuil mereka. Malah, tulisan ini juga digunakan untuk mencatat rekod aktiviti pertanian dan pengutipan cukai. Kewujudan tulisan ini memudahkan rumah ibadat untuk menjalankan kegiatan pendidikan pula.Dalam pendidikan mereka, penekanan diberikan untuk melahirkan pegawai kerajaan yang sempurna dan terlatih terutamanya dalam penulisan seperti jurutulis.

Tuesday, July 10, 2007

Kesan Tembungnya tamadun Islam?


Bahagian tamadun Islam merupakan bahagian yang penting. Biasanya soalan akan menjurus ke arah kesan yang timbul. Kali ini saya cuba mengetengahkan kesan pertembungan daripada aspek agama dan kebudayaan. Sila lihat contoh jawapannnya.

Kesan pertembungan tamadun Islam dari segi keagamaan dan kebudayaan

Keagamaan
Islam membawa satu nilai akidah yang paling penting iaitu kepercayaan kepada Allah s.w.t.
Menyediakan sistem perundangan yang tersendiri berdasarkan al-Quran dan habis
Islam yang berasaskan akidah dan syariah mudah diterima oleh semua golongan
Islam juga bersifat sarwajagat iaitu tidak terbatas kepada bangsa dan kaum
Islam tidak menghapuskan cara hidup, adat dan budaya nilai setempat

Kebudayaan
Islam mempengaruhi perkembangan-perkembangan pendidikan dengan membangunkan kurikulum bukan sahaja kepada pendidikan berbentuk agama tetapi pendidikan yang merangkumi bidang sains, matematik dan teknologi
Cara berpakaian, berfikir, bertutur dan berdagang juga dipengaruhi oleh peradaban Islam
Semasa zaman Bani Umaiyah di Sepanyol, orang bukan Islam telah mengamalkan cara hidup orang Islam
Mereka bertutur dalam bahasa arab dan berpakaian seperti orang Islam

Tuesday, July 3, 2007

Perjanjian Aqabah pentinglah


Perjanjian Aqabah merupakan soalan yang terkenal dalam peperiksaan.Biasanya pelajar tidak mempunyai masalah dalam menjawab soalan ini kecuali dalam menentukan perjanjian manakah yang menjemput Nabi Muhammad. Jadi, mungkin elok kalau pelajar melihat bahan yang disertakan di bawah ini dan usah lupa tentang kesannya.


Perjanjian Aqabah I
Berjanji tidak akan mencuri, membunuh, berbohong dan berzina
Berjanji akan melakukan kebaikan dan membantu Nabi Muhammad s.a.w. ketika susah atau senang

Perjanjian Aqabah II
Mengulangi taat setia kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Menjemput Nabi Muhammad s.a.w. ke Yathrib

Kesan Perjanjian Aqabah


Agama
Bebas melakukan aktiviti agama
Pembinaan masjid sebagai pusat aktiviti agama

Aqidah
Orang Arab disatukan di bawah akidah Islam

Wanita
Kedudukan kaum wanita sama taraf dengan kaum lelaki

Politik
Pembentukan sebuah negara Islam